Jom cari dalam sensasi blog
Tuesday, October 2, 2007
Jee Akui Bercerai!
Jee akui bercerai
Oleh Nurulhisham Abdul Latiff
KUALA LUMPUR: Penyanyi popular, Fauziah Latiff, 36, mengaku sudah bercerai dengan suaminya, Johan Indot, 43, seorang ahli perniagaan, tiga bulan lalu selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Pengesahan eksklusif Fauziah atau lebih dikenali sebagai Jee kepada Berita Harian itu mengakhiri spekulasi mengenai keretakan rumah tangga mereka yang kebelakangan ini heboh diperkatakan media.
Jee sebelum ini lebih gemar mengambil sikap berdiam diri setiap kali diajukan pertanyaan mengenai status perkahwinannya.
Bagaimanapun, penyanyi itu tidak mendedahkan secara terperinci mengenai tarikh perceraian mereka, sebaliknya dia yang terkenal dengan lagu Teratai Layu Di Tasik Madu berkata, tempoh edahnya tamat 27 Julai ini.
“Kami sudah cuba untuk menyelamatkan perkahwinan ini, namun tidak menemui jalan keluar. Justeru, perpisahan ialah pilihan terbaik untuk kami berdua,” katanya di sini.
Pasangan itu bernikah di London pada 19 Jun 1997 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Jeffri Joaquim Indot, 8, dan Jeremy Jay Indot, 6. Ia perkahwinan kedua Jee yang sebelum itu pernah berkahwin dengan Syed Budriz Putra Syed Amir Zainal Abidin Jamalullail pada 1992, tetapi berpisah selepas tiga tahun.
Ditanya mengenai sikapnya yang enggan mengulas panjang berhubung pergolakan rumah tangganya sebelum ini, Jee berkata, perkara itu tidak perlu dihebahkan kerana ia bersifat peribadi.
“Saya memberitahu perkara sebenar kerana ketika itu saya masih lagi bergelar isteri kepada Johan. Lagipun, sejak tiga bulan lalu, tiada seorang pun wartawan yang bertanyakan mengenai status perkahwinan saya.
“Takkan pula saya hendak menghebahkan kepada semua. Jika ada media yang bertanya selepas perpisahan itu disahkan, sudah tentu saya tidak akan menafikannya. Ketika perpisahan itu berlaku, tumpuan saya ialah kepada Akademi Fantasia (AF) musim kelima.
“Saya perlu menghormati tanggungjawab yang diamanahkan ke bahu saya sebagai pengkritik AF5. Saya juga tidak selesa mencampuradukkan soal kerjaya dengan rumah tangga. Lagipun, perkara itu masalah peribadi kami, jadi biarlah kami berdua mengatasinya sendiri,” katanya.
Jee berharap, pengakuannya itu akan melenyapkan semua spekulasi membabitkan status rumah tangga mereka dan memberinya ruang untuk menjalani kehidupan seperti biasa.
Dia juga memohon peminat memahami keadaannya dan menerima kenyataan yang dia kini kembali sendiri.
Penyanyi itu memberitahu, biarpun sudah membawa haluan sendiri, hubungannya dengan Johan masih baik demi masa depan kedua-dua anak mereka.
No Response to "Jee Akui Bercerai!"
Leave A Reply