Jom cari dalam sensasi blog

Tuesday, May 26, 2009

Kes Cerai Zakiah Anas-Suami Zakiah Muflis tahun 2003

Posted on 7:45 PM by Sitcom


SHAH ALAM - Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili suami kepada personaliti TV3, Zakiah Anas terkejut apabila dimaklumkan anak guamnya seorang bankrap pada prosiding kes perceraian pasangan itu di Mahkamah Rendah Syariah di sini semalam.

Status Mohamed Yusof Mohamed Taib, 47, itu dimaklumkan peguam syarie, Rubiah Jaffar yang mewakili Zakiah, 43, di hadapan Hakim Syarie Kamarulzaman Ali.

Fakhrul memberitahu, beliau terkejut kerana baru mengetahui status itu dan akan mendapatkan kepastian sama ada anak guamnya masih bankrap atau tidak.

"Mengikut peguam plaintif, rekod semakan terakhir mengenai kebankrapan adalah pada 15 April lalu dan saya terpaksa rujuk dengan anak guam saya sekiranya ada apa-apa tindakan telah dibuat tentang perkara itu.

"Jadi saya mohon mahkamah tetapkan tarikh sebutan lain untuk menyelesaikan perkara ini," katanya ketika prosiding semalam.

Terdahulu, Rubiah berkata, pihaknya dimaklumkan defendan adalah seorang yang telah diisytiharkan bankrap sejak 5 Mac 2003 dan kekal dengan status itu sehingga tarikh carian rasmi terkini Jabatan Insolvensi pada 15 April lepas.

"Mengikut Seksyen 38 Akta Kebankrapan 1967 orang yang bankrap perlu dapatkan kebenaran daripada pegawai pemegang harta iaitu Pengarah Insolvensi sebelum boleh dia disaman dan menyaman," ujarnya.

Rubiah juga memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan lain bagi mengetahui akta tersebut terpakai atau tidak dalam perjalanan kes berkenaan.

No Response to "Kes Cerai Zakiah Anas-Suami Zakiah Muflis tahun 2003"

Leave A Reply