Jom cari dalam sensasi blog

Sunday, May 31, 2009

Fasha bakal berkahwin tapi bukan dengan duda..

Posted on 9:08 AM by Sitcom




KUALA LUMPUR: Tanpa berselindung, pelakon yang sering dipalit kontroversi, Fasha Sandha, mengesahkan hatinya kini dimiliki dan dia bakal menamatkan zaman bujang selewat-lewatnya tahun depan.

“Jika tiada aral melintang, saya akan bertunang September ini sebelum berkahwin pada awal tahun depan,” kata Fasha atau nama sebenarnya, Nur Fasha Sandha Hassan, sambil menunjukkan ‘cincin tanda’ berbentuk hati yang tersarung di jari manis tangan kirinya.

Bagaimanapun, di sebalik pengakuan itu masih timbul persoalan siapakah lelaki yang bakal bergelar suaminya kerana setakat ini belum sedia dikongsi Fasha untuk pengetahuan umum.

“Itu belum boleh saya bagi tahu sekarang. Cukuplah jika saya katakan orangnya hitam manis, dia ahli perniagaan, penyayang selain dapat menerima saya seadanya.

“Yang pasti, dia bukan suami orang, jauh lagi duda. Mungkin ada pihak mengandaikan saya dengan ‘orang itu’, tetapi bukan dia sebenarnya. Jangan salah sangka,” kata pelakon berusia 25 tahun itu sambil ketawa kecil.

Sebelum ini, dua kontroversi paling ‘meletup’ membabitkan Fasha ialah dia dikatakan menjalin hubungan dengan hartawan teknologi maklumat, Datuk Shafik Rizaal Saaban, 35, atau Datuk S serta Rizal Ashram Ramli, 38, yang juga bekas suami pelakon, Nora Mohd Danish Haniff.

Apabila ditanya hal itu, Fasha sekali lagi menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan dua lelaki berkenaan, namun masih enggan mendedahkan siapakah lelaki yang kini bertakhta di hatinya.

“Saya tidak mahu perkara ini menjadi punca timbulnya banyak gosip. Biar saya serta orang terdekat saja yang tahu. Saya tidak mahu akibat pendedahan identitinya, dia menjadi ‘buruan’ media.

“Lagipun dia seorang yang suka merendah diri dan tidak mahu menonjolkan diri,” katanya dalam pertemuan dengan Metro Ahad, baru-baru ini. Dalam pertemuan itu Fasha ditemani ibunya, Hatijah Teh Man, 48, atau lebih mesra dengan panggilan Mama serta pembantu peribadinya, Jane Thomas.

Fasha yang membintangi hampir 20 filem, antaranya Cicakman, Berlari Ke Langit dan Anak Halal, juga memberitahu, selepas berkahwin kelak dia memutuskan untuk bersara daripada dunia lakonan.

Gadis kelahiran Johor Bahru, Johor, itu berkata, keputusan itu diambil kerana bakal suaminya tidak mahu dia berlakon lagi, sebaliknya lebih senang dia membabitkan diri di belakang tabir saja.

“Perancangan saya, selepas berkahwin nanti, saya mahu membuka perniagaan berkaitan bidang kecantikan atau peragaan. Bagi saya, sekarang masa paling sesuai untuk bersara.

“Ini kerana, sebelum ini sasaran saya ialah berlakon selama lima tahun sebelum bersara dan sekarang masuk tahun keenam. Lagipun, sasaran untuk memberi kesenangan kepada keluarga juga sudah saya capai,” katanya.

Ketika diminta mengulas keputusan Fasha, Mama berkata, terpulang kepada anaknya untuk melakukan apa yang terbaik, malah dia bersyukur anak kesayangannya bakal bergelar isteri.

“Ibu mana tidak mahu melihat anaknya berjaya dalam hidup selain berkahwin dengan lelaki baik.

“Saya tidak tahu bagaimana nak meluahkan perasaan syukur dan gembira. Saya mengenali teman lelaki Fasha sebagai seorang yang berhemah tinggi, baik serta menghormati orang tua,” katanya lagi.

Menurut Mama, Fasha anak yang baik dan banyak berkorban membantu keluarga.

“Mama hanya mampu menasihatkan Fasha supaya bersabar dengan pelbagai dugaan yang menimpa. Sebagai ibu, Mama bangga dengan pencapaiannya,” katanya.

No Response to "Fasha bakal berkahwin tapi bukan dengan duda.."

Leave A Reply