Jom cari dalam sensasi blog

Monday, April 6, 2009

Filem Talentime mengajar erti kebebasan tanpa pegangan agama.

Posted on 8:24 AM by Sitcom


Tidak tahulah mengapa pengirim itu marah sangat dengan artikel Bangganya Jadi Songsang yang dipaparkan minggu lalu. Tapi saya rasa wajar untuk menzahirkan kebimbangan dengan senario dunia hiburan kita akhir-akhir ini kerana ramai yang menyokong budaya amat keji itu.

Pengirim ini mengulas mengenai ustaz pegang anjing yang dipaparkan pengarah Yasmin Ahmad dalam Gubra. Katanya, saya tidak faham hukum halal haram dalam Islam dan pemikiran saya kampungan hingga meminta saya membuka kitab belajar dulu sebelum memberi komen. Tidak cukup dengan itu minta saya cermin diri dulu baru keluarkan cerita.

Mungkin pengirim itu mempunyai pemikiran bercelaru disebabkan kecelaruan identiti dalam dirinya. Dalam dunia hiburan ini memang ramai golongan pengamal budaya songsang hidup dalam dunianya yang bercelaru.

Apabila menonton filem arahan Yasmin bermula Sepet, Gubra, Mukhsin dan terbaru, Talentime, saya melihat betapa terbukanya Yasmin sehingga membuka minda saya untuk melihat lebih dalam keterbukaan yang dipaparkan.

Apabila menonton Talentime, saya seperti berada dalam era 70-an atau 80-an, bukannya zaman sekarang hingga keliru apabila melihat kereta di jalanraya menggambarkan latar semasa.

Lebih meyakinkan saya apabila melihat susunan huruf pada Talentime menggambarkan dua perkataan tale dan time yang dipisahkan huruf n membawa maksud kisah dan masa. Jelas, cerita dipaparkan adalah memori silam Yasmin.

Selesai menonton filem ini, satu kebimbangan muncul dalam fikiran saya, mungkin kerana minda saya belum cukup terbuka. Tapi saya akui Yasmin adalah tukang cerita yang bijak dan mampu menarik perhatian penonton dengan ceritanya yang kaya dengan unsur kemanusiaan.

Dalam setiap filemnya, Yasmin mengangkat kisah keluarga bahagia yang hidup serba sederhana, berfikiran terbuka dan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa harian.

Dalam Talentime, keluarga Melur lakonan Pamela Chong digambarkan cukup bahagia. Ibu bapa Melur (Harith Iskandar dan Mislina Musthafa) mesra dan penyayang, adik beradiknya bijak dan mesra, nenek pula wanita Inggeris dari Yorkshire, England yang pekat dengan loghat Inggerisnya.







Menambahkan perisa, keluarga ini mempunyai pembantu rumah keturunan Cina, Mei Ling dan adik-beradik Melur rapat dengannya. Mei Ling juga masuk Islam tapi tetap menggunakan nama asal kerana dia berubah pegangan agama dengan masuk Islam, bukannya jadi Melayu atau Arab sebagaimana dijelaskan melalui dialog dalam filem ini. Tidak cukup dengan itu, Melur jatuh cinta dengan pemuda India, Mahesh.





Menariknya, keluarga dipaparkan Yasmin tidak terikat dengan satu kaum sebagaimana realiti masyarakat Malaysia berbilang kaum, Melayu, Cina dan India yang hidup aman damai.

Seperti saya katakan tadi, Yasmin sememangnya tukang cerita yang hebat. Tetapi apakah itu realiti keluarga di negara kita? Wujudkah keharmonian keluarga yang digambarkan Yasmin atau adakah itu hanyalah keluarga impian Yasmin?

Bagi saya, mereka ini keluarga rojak dan tidak hairanlah tidak terikat dengan tradisi Melayu. Mereka berfikiran terbuka dan mengamalkan baca puisi sebelum makan.

Tradisi Melayu digambarkan Yasmin melalui penggunaan watak nama gadis Melayu dahulu kala seperti Melur dan Orkid. Begitu juga penampilan gadis yang menjadi watak utama filem Yasmin kerana memakai baju kurung dan kebaya sebagaimana penampilan Yasmin sentiasa anggun dengan kurung dan kebaya.

Yasmin juga sering paparkan kemesraan anak perempuan dan ayah. Melalui Talentime, anak gadis gembira menindih bapa mereka dan bapa penyayang ini juga sanggup mendukung anak gadisnya daripada belakang ketika pulang dari sekolah.

Dalam satu babak ketika keluarga Melur pulang dari Cameron Highlands, ibu bapa yang begitu terbuka dan penuh dengan kasih sayang ini tidak marah sedikit pun melihat anak gadis mereka tidur sebantal dengan lelaki di ruang tamu.

Siap puji 'so sweet' dan minta anak-anak jangan bising, takut mengejutkan mereka daripada tidur. Maka tidurlah dua remaja itu dengan lena sampai pagi tanpa dianggap salah di sisi Islam.

Satu lagi keterbukaan dipaparkan Yasmin, guru menggalakkan hubungan mesra pelajar lelaki dan perempuan apabila memperkenalkan sistem pelajar lelaki yang ada motosikal ditugaskan mengambil dan menghantar pelajar yang menyertai latihan untuk menyertai Talentime. Di situlah detik pertemuan Melur dan Mahesh hingga akhirnya membibitkan perasaan cinta.

Saya paparkan di sini antara unsur-unsur keterbukaan dipaparkan Yasmin dalam Talentime yang dapat saya lihat apabila menyaksikan filem ini. Saya tertanya-tanya juga apakah ini gambaran generasi Melayu kini yang bersikap terbuka, tebal dengan kasih sayang dan kemesraan?

Kalau ini senarionya, ia sesuatu yang agak menakutkan juga sebagaimana kehadiran budaya songsang dalam dunia hiburan tanah air.

No Response to "Filem Talentime mengajar erti kebebasan tanpa pegangan agama."

Leave A Reply