Jom cari dalam sensasi blog
Sunday, April 5, 2009
Diana tak gile glemer di PLKN
Mungkin ramai yang menyangka gadis kacukan Inggeris-Melayu ini, yang sentiasa tampak glamor dengan solekan, rambutnya di dandan cantik serta pakaiannya yang penuh gaya, tidak mampu menyesuaikan diri kepada kehidupan di kem.
Berpeluang menjenguk Diana Danielle pagi semalam di Kem PLKN Princess Haliza, Sepang, dia kelihatan senang dengan kehidupan di sana. Seperti rakan kem lain, dia berpakaian seluar panjang dengan baju lengan panjang labuh, rambutnya diikat sanggul dan kejelitaannya lebih menyerlah tanpa sebarang solekan di muka.
Tidak timbul juga masalah bergaul. Melihat kemesraannya dengan rakan-rakan dorm, dirinya diterima sebagaimana peserta-peserta PLKN (Pusat Latihan Khidmat Negara) lain, seperti seorang remaja biasa. Menurutnya, setelah dua minggu di situ, dia mempunyai ramai kawan, 10 di antaranya sudah dikira sahabat rapat.
Tak rindu rumah, dunia seni
“Semuanya bagus di sini, selesa. Sejak hari pertama, saya tidak berasa janggal, takut ataupun rindukan rumah. Keadaan di sini sangat berbeza dari apa yang saya jangkakan. Pada mulanya, bimbang juga jika cerita-cerita yang saya dengar tentang PLKN benar. Tapi kawan-kawan dan jurulatih di sini semuanya peramah dan banyak menolong. Mereka membuat saya berasa dialu-alukan,” cerita Diana, yang begitu seronok sekali di sini dengan rakan-rakan barunya hinggakan bila ibunya datang melawat disuruhnya pulang.
“Takde kaki buli atau penderaan di sini. The atmosphere here is very ‘student-friendly’. Bagi saya, dokumentari yang sedang diusahakan 8TV, yang akan merakamkan pengalaman saya, Suki dan Alif di PLKN, cara terbaik untuk menunjukkan kepada masyarakat umum apa sebenarnya yang berlaku di kem. Sampai di sini, kami diajar tentang disiplin, membina perwatakan … ketika itu baru saya tahu apa itu sebenarnya PLKN.”
Tambahnya, remaja hari ini terlalu banyak kebebasan, tidak bertanggungjawab dan berdisiplin. Sekurang-kurangnya melalui PLKN, mereka belajar mengikut cakap. Selain itu, peluang berkenalan dengan rakan-rakan sebaya dari seluruh negara, sesuatu yang tidak patut dilepaskan.
“Rasanya, tiga bulan itu tidak mencukupi. Saya tak kisah berada di sini lama. Sebenarnya, saya tak rindu langsung pada dunia seni,” kata Diana yang memberitahu dia tidak terfikir lagi sama ada akan hadir di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 pada 12 April ini di mana dia telah di calonkan sebagai Pelakon TV Wanita Popular. Mengikut peraturan PLKN, peserta boleh memohon untuk keluar dari kem buat beberapa hari.
Belajar uruskan diri
Sebagai bukti penyesuaiannya kepada kehidupan regimen, dia telah dipilih sebagai Timbalan Penghuluwati. Antara tugasnya, memastikan mereka dibawah jagaannya sentiasa berdisiplin, mematuhi jadual yang ditetapkan dan berpakaian lengkap. Menurut Diana, sesiapa yang berminat menyandang jawatan itu boleh meletakkan namanya untuk pertimbangan. Selepas itu, kemahiran mereka berkawad, menjerit sambil memberi arahan dengan baik akan diuji. Dari situ, nama-nama akan di senarai pendekkan dan pemilihan akhir dibuat jurulatih.
“Mula-mula tu, adalah saya ‘breakdown’ sebab terus terang saya katakan, saya dimanjakan dengan mama dan semua orang. Di sini tiada sesiapa yang memberikan saya layanan khas. Sebaliknya, sekarang ini saya pula kena menguruskan orang lain, memberikan arahan ... Ia cabaran besar untuk saya.
“Terlalu awal untuk melihat sebarang perubahan yang nyata pada diri saya tapi dalam dua minggu ini sahaja, saya sudah mempelajari banyak benda. Dari segi disiplin, bagaimana menguruskan diri, bagaimana menjadi seorang dewasa, belajar bangun awal sebab sebelum ini saya tak suka bangun awal …,” jelas Diana yang tidak melihat aktiviti-aktiviti lasak yang bakal dilakukannya sebagai susah kerana sudah sering melakukan aktiviti-aktiviti seperti merentas desa dan ‘rock climbing’.
Pernah di marah, di denda
Menceritakan hari pertamanya di kem, katanya, agak ‘havoc’ juga dengan ramai budak-budak menuding jari ke arahnya, tanda mereka mengenali siapa dia. Tapi tegas Diana, tiada layanan istimewa yang diberikan kepadanya. Seperti rakan-rakan lain, dia pernah di marah, di tegur dan di denda.
“Ada sekali itu disebabkan saya lambat. Jurulatih sentiasa mengingatkan yang kami bukannya di rumah tetapi di kem, jadi tidak boleh lewat.”
Cerita Diana, selain komen betapa berbezanya wajahnya tanpa solekan, rakan-rakannya di kem memberitahu, pada awalnya di sangkakan dia seorang yang sombong dan tidak akan ingin berkawan dengan mereka.
Makan enam kali sehari
Tentang rutin hariannya, Diana memberitahu mereka semuanya bangun seawal jam lima pagi. Selesai sembahyang, mereka melakukan senaman diikuti dengan sarapan pagi. Selepas itu, mereka menghadiri kelas membina perwatakan dan aktiviti-aktiviti lain yang diaturkan di dewan. Makan malam dihidangkan pada pukul 6.30 petang. Sebelum bersurai pada 11 malam, akan diadakan ceramah pada jam 8 malam. Katanya, lebih banyak aktiviti akan diselitkan secara beransur-ansur seperti kawad.
Dan bagi mereka yang menyangka budak-budak di sini tidak terjaga makan minum mereka, Diana mendedahkan mereka di beri makan secukupnya sehingga enam kali sehari!
“Sebelum masuk kem, saya makan banyak sekali. Tapi bila sampai di sini, komanden beri amaran jika tak jaga, berat badan akan naik. Mana tak naik apabila makan sampai enam kali! Mulanya, berat badan saya ada lah naik tapi dah turun balik sikit. Sekarang ni, saya makan dua kali sehari saja.”
No Response to "Diana tak gile glemer di PLKN"
Leave A Reply