Jom cari dalam sensasi blog

Thursday, July 16, 2009

Rosita Che Wan bercinta dengan Pemain bola sepak muda-Asrarudin

Posted on 9:54 AM by Sitcom




SEBELUM ini sebuah program TV ada mengeluarkan cerita tentang aktres Rozita Che Wan yang khabarnya turut memilih pemain bola sebagai 'teman sosial' sekaligus mengikut jejak langkah adiknya, aktres Ayu Raudhah yang sedang 'berkawan' dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd. Zaquan Adha.

Desas-desus yang mengatakan Rozita bakal menamatkan zaman 'janda'nya dengan seorang Datuk bagaikan ternoktah apabila cerita terbaru ini dikeluarkan.

Wanita berusia 30-an ini pada mulanya enggan mengulas tentang lelaki muda itu kerana bimbang seandainya menimbulkan cerita negatif di kemudian hari.

Namun setelah berfikir sejenak, terus dia menukar fikiran lalu bersikap terbuka membicarakan tentang pemain bola itu bagi mengelakkan timbul pelbagai spekulasi pula.

"Memang saya mengenali pemain bola ini. Namanya Asrarudin Putra Omar. Dia pemain Selangor dan kebangsaan.

"Saya dah kenal dia sejak 4 hingga 5 bulan lepas melalui Ayu. Pertama kali kenal, waktu tu di gelanggang futsal Sports Planet, Ampang.

"Sehingga sekarang, saya dan dia hanya berkawan. Saya seronok berkawan dengannya sebab dia budak baik dan 'stailo'. Bila saya tiada teman untuk keluar, dia selalu temankan saya menonton wayang dan bersiar-siar.

"Tapi tidaklah sampai terfikir untuk menjalinkan hubungan lebih dari seorang kawan," kata Rozita yang berkali-kali menegaskan Asrarudin hanya kawan baiknya sekarang ini.



Biar apa pun alasan Rozita, dia tidak mampu menyorok tentang Asra pernah menelefonnya berjam-jam lamanya.

"Saya juga selesa berbual dengannya sehingga kadangkala dalam 4 hingga 5 jam sampai pagi kami 'bergayut' telefon dalam 2 hingga 3 kali seminggu.

"Banyak topik yang kami bualkan misalnya, semasa dia pergi ke Shanghai, China, dia akan ceritakan tentang pengalamannya di sana," tuturnya yang telah dua kali menonton Asra berlawan bola di stadium.

Rozita berkata dia jarang mempunyai kawan baik seperti Asrarudin.

Jelasnya, bukan tidak ada rakan-rakan yang memperkenalkan dia dengan beberapa kenalan lelaki namun dia yang tidak berkenan.

Tambahan pula, Rozita bukan pengidam lelaki tua sebaliknya dia gemarkan lelaki yang bertubuh tegap, tinggi dan kurus.

"Walaupun keluar dengan Asra, saya tak rasa janggal pun sebab dia nampak lebih matang dari usianya.

"Umur dia memang jauh beza sangat dengan saya dan sebab itu saya nak elak bersuamikan pasangan yang agak muda.

"Tapi seperti yang saya katakan, tak salah rasanya kami berkawan sebab dia tiada teman wanita dan saya pun tiada teman lelaki, jadi bila bosan boleh keluar bersama.

"Lagipun saya selesa keluar berjalan dengannya sebab kalau orang tengok kami pun tak nampak pelik.

"Saya boleh berkawan dengan sesiapa saja tak kira tua atau muda

"Saya pun tak kisah andai dijodohkan dengan lelaki muda," akui pelakon drama dan filem yang semakin popular ini.



Bagaimanapun, Rozita berkata: "Tetapi saya kena juga berpijak di bumi yang nyata. Mungkin hari ini orang mahukan kita, tapi esok masa dan keadaan boleh berubah," ujarnya.

Melihat wajah cantik jelita Rozita, masakan tiada lelaki yang ingin berdamping.

Namun dia akui agak cerewet dan memilih dalam soal mencari bakal suami memandangkan dia pernah berkahwin sebelum ini.

Bagi Rozita, cerewetnya adalah cerewet positif kerana sebolehnya dia inginkan lelaki yang tidak hipokrit.

"Saya nak biar lelaki tu buat hati kita terbuka untuk berkahwin. Jadi saya kena ambil masa yang lama untuk kenal seseorang itu.

"Kadangkala kita rasa tak boleh terima si A tetapi jadi gemar pula. Walaupun berkawan tak lama, tapi saya boleh terima," tambahnya yang telah berlakon drama Puteri Aurora Beradu untuk TV3.

Menurut Rozita, dia berlakon sebagai Aishah, isteri kepada Tuan Imran yang dilakonkan oleh Eizlan Yusof.

Selain itu, dia baru selesai penggambaran telefilem Raya, 'Kuih Goyang Seha'.

Selepas ini, dia akan sibuk dengan pengambaran filem 'Adik Manja Kembali' dan seterusnya telefilem 'Cantik'.

Rozita berkata dia akan sibuk berlakon sehingga bulan puasa sebelum menunaikan umrah.

"Saya akan pergi umrah mulai 29 Ogos hingga 15 September ini dengan mak.

"Saya dah pernah buat umrah sebelum ini tapi ini merupakan kali pertama saya tunai umrah masa bulan puasa. Kalau boleh nak beraya kat sana tapi dah penuh," ujarnya yang ingin membawa hati yang lara.

Jelasnya, kadangkala dia seperti serik untuk mengenali mana-mana lelaki lagi kerana 'apabila kita suka seseorang tu, ada sahaja halangan untuk memisahkan kita..'.

No Response to "Rosita Che Wan bercinta dengan Pemain bola sepak muda-Asrarudin"

Leave A Reply