Jom cari dalam sensasi blog
Sunday, July 26, 2009
Disebalik Kisah penyanyi wanita silih berganti-Cat harus ubah sikap (The Fabulous Cat)
KEAHLIAN The Fabulous Cats (TFC) yang bersilih ganti bagaikan suatu perkara yang normal dalam kumpulan ini. Bermula dengan Ellie yang menjadi anggota pertama meninggalkan TFC pada 2007, tempat itu kemudian digantikan oleh Alyah. Tidak lama selepas itu, Alyah digantikan pula dengan seorang bakat baru dari Indonesia bernama Ochi.
Sama seperti bekas ahli wanita TFC sebelumnya, Ochi turut menarik diri dan kekosongan penyanyi wanita diambil alih oleh Farhana (Hana).
Selepas setahun lebih menjadi 'bunga' dalam TFC yang turut dianggotai oleh Cat Farish, Adeep dan DJ Sumo, Hana mendapat teman baru dari negara seberang iaitu Wangi Julianda.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu DJ Sumo turut mengundur diri daripada kumpulan itu.
Lebih mengejutkan Hana yang dikatakan paling lama bertahan bersama TFC pula 'angkat kaki' daripada kumpulan itu dan digantikan buat sementara waktu oleh bekas pelajar Akademi Fantasia 7 (AF7), Zizie.
Seperti biasa, sepanjang pertukaran ahlinya, selaku ketua kumpulan TFC yang juga bekas ahli kumpulan Ruffedge suatu ketika dahulu, Cat, memberi kenyataan bahawa ahli yang meninggalkan kumpulan itu tidak dapat memberikan komitmen sepenuhnya bersama TFC kerana mempunyai tanggungjawab lain yang perlu diselesaikan.
Namun, setelah DJ Sumo juga meninggalkan TFC, kelihatan seperti ada sesuatu yang tidak kena dalam kumpulan itu.
Lalu, tiga gadis yang pernah menempa nama melalui TFC yang boleh dikatakan serpihan daripada kumpulan itu iaitu Ellie, Alyah dan Hana, dipertemukan dalam sesi fotografi di studio Utusan baru-baru ini.
Mengejutkan, ketiga-tiga gadis jelita ini akhirnya membuka pekung TFC yang selama ini berdiam diri mengenai punca pengunduran mereka dalam kumpulan tersebut.
Dilihat sebagai picisan
Demi TFC, Hana sebelum ini sanggup berhenti kerja kerana mahu memberi fokus sepenuhnya terhadap kumpulan itu. Namun menurutnya, segala titik peluhnya tidak pernah dihargai malah dibiarkan begitu sahaja saat gadis ini memerlukan sokongan.
"Sebenarnya, sebelum saya mengundur diri, saya telah berbincang dengan pihak Metadome Sdn. Bhd. (syarikat yang menaungi TFC) dan saya telah diberi garis panduan untuk memberi kenyataan kepada media mengenai punca peninggalan saya.
"Saya diminta tidak menceritakan perkara sebenar kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Tetapi sebaliknya pula berlaku bila Cat menghentam saya dengan memburukkan nama saya dalam laman Facebook.
"Lebih memeranjatkan, menerusi laman itu dia berkata, orang yang telah keluar daripada TFC patut membayar ganti rugi sebanyak RM90,000. Adakah ini dikatakan profesional bila 'menghentam' bekas ahlinya sendiri?
"Bila dah jadi macam ini, saya rasa sudah tiba masanya untuk memberitahu hal sebenar. Hal ini bukan saya seorang yang terkena, sebaliknya semua bekas ahli mengalami nasib yang sama," tuturnya memulakan bicara.
Lebih menyedihkan, dari pandangan mata Cat, dia seperti melihat wanita dalam TFC sebagai picisan walaupun anggota wanita merupakan aset yang besar dalam menaikkan sesebuah kumpulan.
Malah, dalam sebuah temu bual bersama media suatu ketika dahulu, Cat pernah berkata: "Seorang keluar, seorang lagi pula akan masuk." Satu kenyataan yang boleh dikatakan agak sombong."
Hana bagaimanapun menegaskan, Cat tersilap kerana tanpa wanita, tidak mungkin TFC mampu menebarkan pengaruh dengan mudah. Mengabaikan kata-kata Cat yang sedikit mengguris hati gadis berusia 26 tahun ini, Hana melihat dari sudut positif, mungkin kenyataan Cat itu dibuat tanpa sedar.
Namun, Hana semakin 'muak' dengan TFC apabila kebajikannya semakin terabai.
"Bunyi seperti saya ni seorang Diva bukan? Sebelum saya menyertai mereka, macam-macam saya dengar tentang keburukan TFC. Tapi saya anggap ia sekadar bualan kosong orang dan apa yang lepas, saya enggan mengambil tahu.
"Bayangkan, sepanjang bersama TFC, tidak sampai 10 peratus pulangan yang saya terima. Padahal, saya juga telah bertungkus-lumus untuk menaikkan nama TFC dan sentiasa komited dengan mereka.
"Saya terpaksa mengeluarkan modal sendiri dari segi penyediaan pakaian, kenderaan dan latihan. Saya faham, pada awalnya, TFC tidak mempunyai kewangan yang kukuh.
"Tapi, semakin menjadi-jadi pula dan buat tak tahu dengan perkara ini. Mungkin mereka anggap, 'Oh, Hana orang senang'. Perlu diingat, saya bekerja dengan TFC, saya juga memerlukan gaji.
"Bagi saya, sebagai seorang ketua kumpulan, cara pengurusan kerja Cat langsung tiada perancangan. Sepatutnya nama besar seperti dia mempunyai kenalan yang ramai dan TFC pasti mampu bergerak dengan lebih mudah," dakwanya.
Tanpa pengetahuan Hana, tiba-tiba TFC membuat keputusan untuk mencari penyanyi wanita baru. Bukan kerana cemburu, cuma Hana menganggap keputusan itu adalah satu hal yang tidak sepatutnya berlaku memandangkan TFC mengalami kerugian besar pada tahun lepas kerana kegagalan membuat promosi jelajah album Hypercosmic.
"Memanglah satu strategi baru, tapi sebenarnya, penambahan ahli adalah satu pelaburan. Selepas menjalani beberapa uji bakat, tiba-tiba Cat menunjukkan gambar Wangi untuk dimasukkan sebagai ahli baru.
"Katanya untuk memudahkan promosi TFC di Indonesia. Bulan Mac lalu, Wangi turun ke Kuala Lumpur untuk diperkenalkan kepada umum.
"Apa yang mengejutkan saya, ketika sidang media, Cat membuat kenyataan yang Wangi akan menjadi ahli baru TFC secara rasmi, yang mana saya mendapat tahu tentang itu pada masa sidang media dijalankan. Kenapa membuat keputusan tanpa berbincang dengan ahli kumpulan?
"Saya tidak mencemburui Wangi langsung kerana dia tidak tahu apa-apa. Cuma saya kecil hati kerana saya tidak diberitahu mengenai perancangannya.
"Saya jatuh sakit selepas membeli-belah bersama Wangi di Indonesia. Dua kali saya keluar masuk hospital, seorang pun tidak melawat saya, padahal saya sudah menghantar SMS kepada mereka.
"Selepas seminggu lebih saya sakit, saya mendapat SMS daripada Cat. Ingatkan tanya khabar, rupa-rupanya dia tanya, 'When can you get back to work?'. Bila dia cakap macam itu, teringat saya kepada Alyah. Saya rasa dia pun pasti mengalami nasib macam saya.
"Selepas sakit, saya cuma tertinggal satu persembahan sahaja, tapi dia kata saya dah mula demand. Kenapa perlu berkata begitu sedangkan sepanjang bersama TFC, saya tak pernah berkira dengan mereka.
"Terus, sejak Wangi ada, saya tidak lagi dipanggil untuk membuat persembahan. Pernah sekali TFC mendapat tawaran mengadakan persembahan di Sarawak dan saya sudah bersiap untuk ke sana. Tiba-tiba pengurus TFC beritahu yang mereka menempah tiga tiket sahaja dan nama saya tidak termasuk dalam senarai tempahan itu.
"Bila sudah jadi macam itu, saya rasa, cukup sampai di sini sahaja dan membuat keputusan untuk mengundur diri," jelas Hana yang kini sibuk dengan perniagaan keluarganya.
Dilucutkan keahlian menerusi SMS
Mengimbas kembali kenangan pahit ketika bersama TFC, Alyah yang kini begitu popular dengan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, begitu memahami luahan perasaan Hana itu.
Dakwa Alyah, apa yang menimpa Hana juga berlaku padanya. Selama setahun bersama TFC, Alyah diminta untuk meninggalkan kumpulan itu melalui SMS, kerana Alyah dikatakan mempunyai masalah disiplin dan sering sakit.
"Waktu itu sebulan saya sakit usus. Sama seperti Hana, mereka langsung tidak bertanya khabar. Mungkin ada benarnya saya mempunyai masalah disiplin tanpa saya sedar, tapi saya tidak kisah jika ditegur.
"Tapi bila Cat meminta saya mengundur diri, saya akur dan tak mahu panjangkan cerita. Kalau dia kata dia seorang sahaja berkorban dalam kumpulan itu, semua orang pun sama, lebih-lebih lagi ahli perempuan, yang perlu mengeluarkan kos yang banyak.
"Sedikit bayaran pun saya tak terima sepanjang bersama mereka. Tiba-tiba, Ochi pula menyertai TFC tanpa pengetahuan saya.
"Ingatkan bila dah keluar daripada TFC, kuranglah tekanan saya, tetapi lain pula terjadi. Bila awal-awal menjadi penyanyi solo, memang agak susah untuk saya mendapat tawaran menyanyi kerana Cat memburuk-burukkan saya dalam sebuah artikel. Terus, mana-mana persembahan nyanyian yang perlu saya hadir dibatalkan serta-merta," ceritanya lagi.
Alyah yang kini lebih 'murah rezeki' selepas sembilan tahun cuba mencipta nama berkata, Cat perlu berubah jika mahu mengekalkan TFC.
"Saya rasa, dah tiba masanya untuk dia berubah sikap. Setiap masalah, perlu dibawa berbincang dan yang penting, jangan mendengar cakap orang tanpa selidik dulu.
"Sayang, Cat mempunyai kreativiti muzik yang unik. Dia juga seorang yang baik dan peramah. Jangan sampai ada lagi ahli yang akan keluar.
"Dia perlu menguruskan kumpulannya secara profesional dan yang penting, kebajikan ahli perlu dijaga. Masa saya keluar dulu, memang tiada sebarang pergaduhan, cuma terasa kecil hati sahaja," ujar Alyah yang masih lagi sibuk dengan promosi albumnya.
Dianggap perempuan 'pakai buang'
Ellie yang mula menjinak-jinakkan diri dalam dunia lakonan drama serta iklan pula kini lebih tenang selepas keluar dari TFC.
Biarpun impian sebenarnya di bidang nyanyian, Ellie tidak sanggup menerima risiko sama seperti ketika bersama TFC dahulu.
Masalah yang kerap berulang dalam kumpulan itu membuatkan dirinya trauma untuk bergelar penyanyi.
Lantas, dia membuat keputusan untuk mencari kerja tetap dan berlakon secara sambilan.
"Bila melihat ada sahaja ahli yang mengundur diri, membuatkan saya rasa Cat masih lagi belum berubah. Selain hal kewangan, ada perkara peribadi yang tidak dapat saya ceritakan di sini.
"Apa yang mengecewakan saya, Cat menganggap wanita seperti barang yang boleh dipakai buang. Bayangkan, saya diberi cuti seminggu untuk menjaga emak yang sedang sakit. Tapi saya dah pesan, bila ada persembahan, bagi tahu, saya masih lagi boleh 'turun padang'.
"Tiba-tiba bila saya menonton sebuah program hiburan di televisyen, mereka memperkenalkan Alyah sebagai ahli baru TFC dan saya tidak tahu tentang itu. Bukan saya yang minta cuti.
"Album semua sudah siap. Tunggu tawaran persembahan pentas saja. Tapi bila dengar radio, suara Alyah pula yang keluar. Penat lelah saya menghasilkan album siang dan malam tidak diendahkan langsung," katanya.
Tambah Ellie, keadaan itu menampakkan yang Cat bukanlah seorang yang profesional dalam pengurusan artis.
Cat kecewa dihentam
SEMENTARA itu, ketua kumpulan TFC Cat Farish ketika ditemu bual Kosmo! menganggap komen yang diberikan oleh ketiga-tiga bekas anggota TFC itu sekadar ‘permainan’ mereka sahaja.
Malah, Cat turut memberitahu setiap kumpulan muzik pasti mengalami masalah yang serupa dengan TFC dan ia bukan sesuatu yang luar biasa.
“Saya selaku ketua dan Adeep sebagai pembantu, perkara ini berlaku pada mana-mana kumpulan apabila terjadi satu insiden dan akhirnya mereka keluar.
“Kenapa baru sekarang nak buka cerita? Saya tidak tahu apa yang mereka cakap tetapi mereka harus tahu kami pencipta lagu dan visi kami adalah untuk membawa TFC ke aras yang lebih tinggi.
“Kalau nak ceritakan tentang pengorbanan rasanya kami habiskan masa lebih di studio untuk buat muzik dari duduk di rumah. Mereka sekadar menyanyi dan komitmen mereka hanya diperlukan bila ada rakaman lagu dan persembahan,” katanya.
Cat juga mengakui kecewa apabila bekas anggota TFC mengeluarkan kenyataan seperti ‘menghentamnya’ sedangkan nama mereka dikenali menerusi TFC.
“Mereka bina platform dengan TFC, sudah tentu saya kecewa apabila mereka berkata demikian, tetapi TFC tetap boleh hidup walaupun tanpa kehadiran mereka,” ujar Cat.
No Response to "Disebalik Kisah penyanyi wanita silih berganti-Cat harus ubah sikap (The Fabulous Cat)"
Leave A Reply