Jom cari dalam sensasi blog
Wednesday, December 2, 2009
Anang mengaku penceraiannya dengan Kris Dayanti berpunca " Tidak Mampu Memenuhi Setiap Permintaan Yanti"
TERLERAI sudah segala kekusutan yang membelenggu dirinya. Kini, komposer juga penyanyi Anang sudah dapat menerima suratan yang tertulis ke atas kisah rumah tangganya. Malah, Anang lebih bersedia mengharungi hari muka bersama anak-anaknya sebagai bapa tunggal.
Untuk pertama kalinya, menerusi pengakuan eksklusif di hadapan teman media, Anang yang membahasakan bekas isterinya itu dengan panggilan Yanti, enggan menyalahkan Kris sepenuhnya.
"Saya yang harus dipersalahkan di dalam penceraian ini kerana sebagai ketua keluarga saya telah gagal menerajui perjalanan keluarga saya dengan baik," jelas Anang dengan wajah yang tenang.
Anang, yang berada di sini dalam rangka promosi album solo terbarunya, 'Separuh Jiwaku Pergi' berkata, walaupun pedih untuk ditelan, Anang redha dan akur terhadap ketentuan takdir.
Malah, bapa kepada Titania Aurelie Nurhermansyah (11) dan Azriel Akbar Hermansyah (9) melihat kegagalan rumah tangganya bersama diva Pop tersohor Indonesia Kris Dayanti dari sisi berbeza.
Dia mengakui bahawa setiap masalah yang membawa kepada penceraian mereka adalah berpunca daripada dirinya sendiri.
"Saya akui saya bukan lelaki yang sempurna. Saya tidak mungkin mampu memenuhi setiap permintaan Yanti. Maka, keterbatasan ini mungkin telah menyebabkan Yanti bertindak sedemikian.
"Mahupun Yanti atau saya, kami sama-sama membuat kesilapan sehingga membawa kepada penceraian ini," ujar Anang.
Tumpuan Anang kini pada kerjaya dan anak-anak
Meskipun sudah jelas penceraian pasangan ini dikatakan berpunca daripada kecurangan Kris Dayanti, Anang beranggapan sebaliknya. Mengakui bahawa penceraian itu sebenarnya berpunca daripada kegagalannya sebagai ketua keluarga dalam memimpin ahli keluarganya.
Ketika diusik mengenai pengalaman pertamanya terbang ke Malaysia sendirian tanpa Kris di sisi, Anang mengakui sedikit kekok dan sunyi. Tambahnya lagi kunjungannya ke Kuala Lumpur kali ini seperti ada yang kurang dan tidak lengkap.
Jika sebelum ini Anang hanya datang ke sini bersama Kris, fakta itu berubah kali ini. Namun, atas tuntutan kerja dan komitmennya terhadap promosi album solo terbarunya, 'Separuh Jiwaku Pergi', Anang menyahut cabaran itu dan tampil berseorangan.
Teringin Bertemu Teman Baru KD
Pudar sudah episod duka, fokus Anang kini tertumpu kepada kerjaya seni dan anak-anaknya. Biar dengan siapa sekali pun bekas isterinya itu berpacaran, Anang kini lebih bersikap terbuka.
Padanya, kenangan melayari bahtera perkahwinan selama 13 tahun itu biarlah tersimpan erat di dalam kotak ingatannya sahaja.
"Apa yang penting kini adalah untuk terus berkarya kerana itu adalah jiwa saya.
"Mungkin kalau saya seorang penulis, barangkali saya sudah menulis sebuah buku untuk berkongsi perasaan saya. Memandangkan saya seorang seniman, muzik dan lagu adalah saluran terbaik buat saya meluahkan perasaan yang terbuku di hati," jelas Anang.
Beralih perbualan kepada kesediaannya untuk melihat Kris menjalani hidup baru, Anang berkata bahawa segala yang berlaku telah direncanakan oleh Kris.
Di akhir bicara, Anang turut menyuarakan keinginannya untuk bertemu dengan siapa jua yang bakal bertakhta di hati Kris kelak.
"Saya mendoakan yang terbaik buat Yanti dan semoga dia cepat bertemu jodoh. Sekiranya dia sudah ada calon, saya teringin sekali untuk bertemu dengannya.
"Saya juga teringin sekali bertemu dengan Yanti di dalam satu majlis. Mungkin, jika dia berkahwin satu hari nanti, saya tidak keberatan untuk menghadirinya. Biarpun kami telah berpisah Yanti tetap ibu kepada anak-anak saya," jelas Anang.
No Response to "Anang mengaku penceraiannya dengan Kris Dayanti berpunca " Tidak Mampu Memenuhi Setiap Permintaan Yanti""
Leave A Reply