Jom cari dalam sensasi blog
Wednesday, March 4, 2009
Waheeda mengaku suka Akhil..tapi?
PETALING JAYA: “Saya suka bersamanya (Ustaz Akhil Hayy), namun kami tidak bercinta,” kata penyanyi, Waheeda atau Norwahidah Abdul Wahab, 30, sambil menitis air mata ketika mengulas hubungannya dengan penceramah bebas, Ustaz Akhil Hayy.
Dia bagaimanapun mengaku sedih apabila mengenangkan gosip yang terpaksa dilaluinya sekian lama.
“Macam-macam orang bercakap buruk mengenai saya...saya perampas suami orang, asyik bertukar-tukar lelaki lagi. Saya sudah banyak simpan rahsia orang. Begitu juga dengan kontroversi yang melanda saya dengan Akhil.
“Jangan sampai saya hilang sabar dan buka semua cerita hingga perlu mengaibkan orang. Selama ini cukup perit saya menanggung semua ini,” katanya sambil menitis air mata.
Menurut Waheeda, dia sudah banyak berkorban demi orang lain, bukan setakat berkaitan Akhil, tetapi juga pihak yang pernah rapat dengannya sebelum ini.
Dia berkata, jika semangatnya tidak kuat, tidak tahu apa akan terjadi kepadanya.
Waheeda ditemui selepas menghadiri sidang media pelancaran drama bersiri TV9, Nana Tanjung di Sri Pentas, semalam.
Kontroversi membabitkan dua personaliti popular itu bagaikan tiada penghujungnya.
Tidak cukup dengan kisah sudah berkahwin, menonton wayang bersama pada penghujung tahun lalu turut menguatkan keintiman mereka.
Gadis yang popular dengan lagu Wassini itu turut mengaku menanggung derita disebabkan kontroversi itu, apatah lagi ada yang cuba mengaibkannya dengan mendakwa dia sanggup menjadi isteri kedua.
Berkali-kali persoalan diajukan kepada Waheeda mengenai hubungan mesranya bersama Akhil.
Namun, gadis kelahiran Johor Bahru itu tetap memaklumkan mereka langsung tidak mempunyai hubungan istimewa seperti dihebohkan.
“Saya sendiri tidak pasti. Dia (Akhil) memang baik. Keluarga serta rakan saya amat menyenanginya. Walaupun sering dibabitkan dengan kontroversi, hubungan kami tetap baik. Saya sendiri tidak berdepan banyak masalah dengannya. Kami tetap berkawan.
“Saya juga pernah berbual dengan isterinya mengenai perkara itu. Memang kami tidak ada masalah. Saya pernah berkunjung ke rumah mereka pada hari raya. Malah, isterinya cuba menjodohkan saya dengan adik Akhil,” katanya.
Waheeda mengakui tertekan setiap kali mahu menjelaskan hal berkenaan hingga terfikir seperti ada yang mahu dia mengaku mempunyai hubungan istimewa itu.
“Setiap kali diajukan persoalan mengenai hubungan istimewa bersama Akhil, saya pasti akan menjawab tidak. Mungkin juga orang mahu dengar saya cakap ‘ya’ walaupun perkara itu tidak benar.
“Tidak ada perkara yang perlu diselindung lagi. Sekarang pun saya dan Akhil tetap pergi makan dan lepak bersama-sama,” katanya.
Menurut Waheeda, jika ditakdirkan benar-benar berkahwin dengan Akhil, dia tidak akan merahsiakan perkara baik, apatah lagi kepada pihak media.
“Sudah tentu saya tidak akan berahsia andai kata saya ditakdirkan berkahwin dengannya. Keluarga saya juga bukan jenis merahsiakan perkahwinan anak mereka,” katanya.
No Response to "Waheeda mengaku suka Akhil..tapi?"
Leave A Reply