Jom cari dalam sensasi blog
Friday, January 1, 2010
Serina Sah Bergelar Isteri Gavin
KUALA LUMPUR: Dengan sekali lafaz, aktres jelita Serina Redzuawan sah bergelar isteri kepada Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islamnya Salahudin Ghafar pada pukul 11.30 pagi tadi di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini.
Pasangan ini dinikahkan oleh Penolong Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk masjid tersebut, Mohd. Nazarudin Mohd. Nazir dengan berwalikan bapa Serina, Chef Wan atau Redzuawan Ismail dengan mas kahwin sebanyak RM1,000.
Setelah selamat dinikahkan, Serina menzahirkan rasa syukur kerana majlis itu berjalan dengan lancar. "Susah untuk mengambarkan perasaan saya selepas sah bergelar isteri, saya tak percaya sebab ia hanya sekali lafaz sahaja.
"Namun apa yang dapat dirasakan ialah Gavin melafazkan akad dengan ikhlas dan hati saya sangat tersentuh.
"Ini juga bermakna bermula satu tanggungjawab besar kepada saya untuk membimbing suami sebagai seorang Muslim.
"Saya bukanlah pandai fasal agama tapi Insya-Allah, saya akan sama-sama mencuba yang terbaik mempelajari ajaran Islam.
"Saya sangat berharap perkahwinan kami akan kekal ke akhir hayat," kata Serina yang akan berbulan madu di Pulau Santorini, Greece.
Sementara itu, Gavin mengakui perasaan gemuruh dan gembira bercampur baur ketika melalui upacara akad nikah sebentar tadi.
Katanya, dia sangat gembira kerana berjaya melepasi satu tahap baru dalam hidupnya dan hari ini merupakan satu pengalaman baru yang tidak akan dilupakan sepanjang hayat.
Ketika ditanya tentang harapan menimang cahaya mata, Serina memberitahu bahawa dia inginkan dua pasang anak lelaki dan perempuan bagi melengkapi kehidupan rumah tangganya.
Pada majlis itu, Serina menerima tujuh dulang hantaran termasuk wang hantaran berjumlah RM30,000 dan membalas kepada Gavin dengan sembilan dulang hantaran.
Antara barang hantaran yang diberi pihak Gavin kepada Serina terdiri dari sepersalinan baju, kain telekung, beg tangan, gelang tangan, cek bernilai RM30,000, Al Quran dan kek serta sirih junjung.
Manakala Gavin menerima Al-Quran, Telefon bimbit, tali leher, jam tangan, kemeja, minyak wangi, tali pinggang, kek dan sirih junjung.
Pasangan pengantin ini akan diraikan dalam majlis berinai besar pada malam ini di NEO, Jalan Sultan Ismail sebelum melalui majlis bersanding di The Royale Chulan malam esok.
No Response to "Serina Sah Bergelar Isteri Gavin"
Leave A Reply