Jom cari dalam sensasi blog
Tuesday, September 1, 2009
Rumah Baru Sharifah Aini ,Gaya Mewah
Jiwa cukup tenang tatkala berada di kediaman mewah berkonsep Mediteranean, Inggeris dan Perancis itu. Kediaman yang dilengkapi ciri kawalan keselamatan yang serba canggih itu adalah ilham dan cita rasa Kak Pah yang sememangnya meminati dan mempunyai kepakaran dalam bidang hiasan dalaman. Bukan hanya memiliki dua ruang tamu yang dihiasi indah dengan pelbagai jenis sofa mewah dan klasik, malah kediaman itu turut dilengkapi surau yang boleh memuatkan seramai 75 tetamu.
Ruang tamu keduanya seluas 2,500 kaki persegi mampu memuatkan 50 tetamu yang hadir dalam satu masa. Malah ruang menunggu kediaman itu turut dihias cantik dengan dua lampu chandelier yang mahal dan mewah.
Jika bosan menonton TV, Kak Pah selesa beriadah sambil minum petang di halaman kolam renang yang indah dan sejuk mata memandang. Sekitar kediaman pula dihiasi bak `taman indah' yang penuh dengan tumbuhan hijau dan merimbun.
Banglo 14 bilik itu juga termasuklah biliknya yang dilengkapi bilik khas untuk pakaian, kasut, aksesori, spa, facial, salun dan dapur kecil untuk memudahkan urusannya setiap hari. Malah setiap bilik mempunyai identiti dan konsep tersendiri. Kak Pah tidak pernah mengabaikan keselesaan empat peneman setianya iaitu pembantu rumah, tukang kebun dan pengawal peribadinya. Bilik mereka dihiasi indah dengan bilik air serba mewah, bilik menonton TV dan bacaan.
Dan sebuah surau yang dibina di tingkat dua kediaman itu membuatkan kediamannya sentiasa ceria dan tidak sunyi menerima kunjungan sanak saudara dan rakan taulan untuk majlis agama. Menjadi kemestian buatnya, setiap malam Khamis, majlis Asma Al'husna diadakan di surau itu.
Secara jujur, Kak Pah akui: "Inilah kelebihan yang Allah SWT limpahkan kepada saya selepas 40 tahun bergelar anak seni. Apa yang tidak saya lalui - fitnah, cercaan dan hinaan menjadi mainan hidup, tetapi berkat kesabaran, saya mampu memiliki apa yang diinginkan setiap insan.
"Walaupun ada kalanya perit untuk ditelan tetapi saya hadapinya dengan penuh kesabaran. Alhamdullilah, Tuhan sedang menguji saya ketika itu. Kerjaya nyanyian saya hampir terkubur gara-gara kontroversi yang terpalit, tetapi syukur saya masih mampu berdiri. Dengan berkat kesabaran itu juga, saya menjalani kehidupan dengan aman dan tenang."
Akuinya, kediamannya itu mengambil masa selama setahun untuk disiapkan memandangkan semuanya dilakukan sendiri. Dari konsep, mencari material hinggalah proses pengubahsuaian, semuanya adalah ilham Kak Pah.
"Dengan bantuan arkitek, saya mencari sendiri material yang sesuai untuk kediaman. Satu persatu saya cari untuk kepuasan sehinggalah ia mengambil masa setahun. Bayangkan dari sekecil benda hinggalah material besar, semuanya saya pilih sendiri.
"Saya akui memang cerewet kerana saya mahukan kepuasan. Saya tak kisah mengambil masa lama tetapi saya puas memiliki kediaman yang dihiasi indah dan nyaman. Saya juga tidak selesa memiliki kediaman yang padat dengan hiasan dan perabot, sebaliknya saya lebih selesa dengan kesederhanaan," kata ibu kepada seorang remaja lelaki dan sembilan anak angkat yang masih menuntut di Madinah itu.
Kak Pah berkata, kediamannya juga dijadikan rumah contoh untuk kawan-kawan dan pelanggan yang mahukan khidmatnya sebagai perunding hiasan dalaman, malah tidak keterlaluan dirinya juga boleh menjadi `personal shopper' untuk pelanggan yang inginkan cita rasa mewah dalam menghias rumah dan mendapatkan perabot.
Dengan nada perlahan, Kak Pah akui: "Saya tak sangka pula ramai yang tertarik dengan hiasan dan struktur rumah saya hingga mahukan saya menjadi perunding hiasan dalaman rumah mereka. Bersama dua rakan niaga, saya menubuhkan White Roses Production untuk mengendalikan perniagaan hiasan dalaman. Sehingga kini, saya sudah memiliki lima pelanggan yang mahu mendapatkan khidmat saya.
"Sebenarnya saya belajar dan mendalami bidang hiasan dalaman di Malaysia dan Singapura sejak 1990 lagi, bagaimanapun kesibukan membuatkan saya tidak berkesempatan mempraktikkan kemahiran dan ilmu yang ada. Sejak dulu, saya memang meminati bidang hiasan dalaman hinggakan saya banyak menghabiskan masa dengan membaca buku berkaitan hiasan dalaman," katanya.
Terbaru mengenai kariernya, Kak Pah juga akan muncul dalam persembahan Dinner Show @ An Evening with Datuk Sharifah Aini yang berlangsung di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur pada 17 Julai ini. Persembahannya lebih kepada perkongsian pengalaman selama 40 tahun bergelar anak seni.
No Response to "Rumah Baru Sharifah Aini ,Gaya Mewah"
Leave A Reply