Jom cari dalam sensasi blog
Thursday, December 4, 2008
Kekasih baru Abby?
Rapat secara profesional
HANGAT dan bertambah hangat. Ketika isu pergolakan rumah tangga antara Abby Abadi dan Norman Hakim yang dikaitkan dengan orang ketiga iaitu pelakon baru, Memey Suhaiza masih hangat diperkatakan, ditambah pula dengan Norman yang direhatkan selama tiga bulan daripada berlakon drama bersiri popular Gerak Khas, tiba-tiba muncul pula nama baru yang memanaskan lagi kontroversi tersebut.
Zulkifli Ariffin! Siapakah gerangan lelaki ini? Kekasih baru Abby? Pengganti Norman Hakim?
Nama yang masih asing dalam dunia hiburan tanah air ini tiba-tiba sahaja meniti di bibir umum, biarpun jejaka ini baru sahaja bertatih dalam dunia lakonan.
Kini, jejaka kacak ini dikatakan pula sedang mula rapat dan mungkin bercinta dengan Abby. Langsung tidak melatah, ketika bertemu dengan Zulkifli dan Abby di lokasi penggambaran drama Ceria Ceria Cikgu Rubina, pemuda berusia 22 tahun ini kelihatan tenang menjawab setiap persoalan yang diajukan kepadanya.
Abby yang sedang disolek wajahnya dalam nada bergurau sempat berkata, "Dia (Zulikifli) baru lagi tu, jangan buat-buat isu tau."
Selesa disapa Zul, sebelum memulakan karier yang penuh mencabar ini, pemuda tinggi lampai ini nyata telah pun bersedia lebih awal dengan gosip-gosip nakal yang hadir tanpa diduga.
Terserlah sifat profesional Zul apabila diminta mengulas mengenai isu dirinya yang dikaitkan dengan Abby. Seolah-olah dia memahami cara kehidupan industri hiburan yang sentiasa dahagakan kontroversi untuk tatapan umum.
"Bagi saya, itu semua asam garam untuk menjadi seorang artis. Saya tahu batas-batas saya untuk menjadi orang yang dikenali.
"Saya mula-mula kenal Abby ketika kami menjayakan drama Apa Itu Cinta?. Perbualan kami pula lebih menjurus ke arah isu semasa dan hiburan.
"Dia juga banyak mengajar saya erti lakonan. Tidak salah bukan kalau saya rapat dengannya secara profesional. Jika orang mahu mengaitkan saya dengan Abby, itu terpulang kepada penilaian masing-masing," tuturnya berterus-terang.
Biarpun begitu, Zul bagaimanapun tidak pula mahu menganggap Abby,30, sebagai seorang kakak.
"Saya tak anggap Abby sebagai seorang kakak, tetapi kawan. Dia masih muda. Lainlah kalau umurnya macam kakak saya yang berumur 36 tahun, bolehlah saya panggil dia kakak," tegasnya.
Bukan pengganti Norman
Belum pun sempat memegang skrip, Zul sekali lagi dikatakan menggantikan Norman dalam Gerak Khas.
Namun, Zul menafikan tentang perkara tersebut. "Bagi saya, tak timbul isu menggantikan Norman atau tidak. Dalam Gerak Khas nanti saya membawa watak baru iaitu Inspektor Ashraf.
"Abby akan menjadi ketua saya nanti. Jadi, saya bukan pengganti Norman. Mungkin semua ini berlaku secara kebetulan. Bila Norman direhatkan dari Gerak Khas, saya dan Abby pula yang masuk."
Seperti biasa, bila orang baru dimasukkan dan orang lama pula dikeluarkan, pastinya yang baru menjadi perhatian dan mungkin mereka akan dibandingkan dengan yang lama.
Dengan rasa rendah diri, Zul memberitahu, dirinya bukanlah setanding dengan Norman yang jauh lebih berpengalaman berbanding dengannya.
Tidak mahu dirinya terlalu menyerlah dengan gosip-gosip kosong, Zul mahu menunjukkan bakatnya kepada khalayak agar diterima seadanya.
"Gerak Khas merupakan drama kedua lakonan saya. Jadi saya tak mahu reputasi saya terjejas tetapi mahu membuat yang terbaik. Terima kasih kepada Datuk Yusof Haslam kerana memberi ruang untuk saya mengasah bakat dalam Gerak Khas.
"Saya harap dapat menunjukkan kebolehan aksi-aksi lasak dan membawa imej polis dengan baik. Ia bukannya senang," tegasnya.
Abby tiada jawapan
Tiada lagi mahu beremosi, bersedih mahupun berwajah sugul, Abby seolah-olah mempunyai semangat baru dalam dirinya. Wajahnya yang begitu bertenaga, membuatkan timbul keselesaan untuk mengajukan pelbagai persoalan buatnya.
Lantas, soalan gosip cinta dengan Zul terus ditanya.
Lali dengan isu-isu panas yang sering dibangkitkan, Abby membutir bicara mengatakan dia lebih selesa untuk tidak memberi komen mengenai perkara itu dengan lebih lanjut.
"Saya tidak ada jawapan untuk itu. Sebenarnya jika isu skandal ditimbulkan, itu semua sekadar kata-kata yang diada-adakan.
"Terpulang kepada hak masing-masing untuk menilainya. Apa yang pasti saya tahu apa yang saya buat.
"Berilah dia (Zul) peluang untuk belajar tentang selok-belok dalam industri ini. Dia masih baru lagi," ujarnya mohon difahami.
Tambah Abby, gosip dirinya dan Zul ditimbulkan adalah kebetulan semata-mata apabila Zul dipertemukan dengannya dalam Gerak Khas.
Bukan kerana simpati
Bila Abby diserap kembali ke dalam Gerak Khas, ramai yang beranggapan ia adalah atas dasar simpati.
Namun beritahu Abby, dia tidak memerlukan simpati dari produksi itu. Kemasukannya ke dalam Gerak Khas kerana dirinya begitu akrab dengan krew produksi itu.
"Ia tidak ada kena mengena dengan simpati. Saya tak perlu simpati daripada Datuk (Yusof Haslam). Sebelum ini kami memang akrab.
"Kami dah jadi macam keluarga dan saya begitu selesa bila berlakon dalam Gerak Khas ini. Banyak kenangan kami bersama," katanya.
Menyentuh mengenai penerimaan dirinya jika Norman diambil semula menjadi pelakon Gerak Khas selepas tiga bulan direhatkan, Abby berkata, dia lebih selesa bersikap profesional.
"Saya profesional. Tak ada masalah jika dia diserap balik. Itu rezeki dia," ujarnya ringkas.
No Response to "Kekasih baru Abby?"
Leave A Reply