Jom cari dalam sensasi blog

Saturday, September 6, 2008

Gambar Wedding Deja Moss dan Azfendy Datuk Azzuddin Ahmad

Posted on 10:17 PM by Sitcom




Dengan sekali lafaz, penyanyi bersuara lantang Sharifah Hadijah Wan Mos atau Deja Moss, 35 sah bergelar isteri kepada Azfendy Datuk Azzuddin Ahmad (Andy), 29 di Masjid Wilayah Persekutuan, Jalan Duta, di sini, kira-kira pukul 11.45 pagi tadi.

Mereka dinikahkan oleh Imam masjid tersebut iaitu Nohd. Nazarudi Mohd. Nadzir dengan berwalikan bapa Deja iaitu Wan Mos Wan Hamid dengan mas kahwin sebanyak RM1,111 beserta sebentuk cincin.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh kaum keluarga Deja iaitu ibu Deja, Kasma Redwan, ibu dan bapa Andy, Datuk Azzuddin Ahmad dan Datin Dayang Hasiah Abang Abdul Samad, ibu dan bapa angkat Deja, Datuk Haniff Taib dan Datin Julie Haniff, saudara-mara kedua-dua belah pihak, rakan-rakan terdekat termasuk rakan artis.

Antara artis yang hadir adalah penyanyi Anuar Zain, Rem, Bob AF2, Izwan Pilus, pelakon Vanida Imran, Rashidi Ishak, Riezman Khuzaimi, Datin Nina Juren, Noniswara, Melisa Saila, dan Zaibo selaku wakil sebelah pengantin perempuan.

“Alhamdulillah, selepas dinikahkan saya rasa kehidupan saya pada masa akan datang sudah berbeza. Semasa membujang dulu lain, tetapi dah kahwin ni lain. Dah jadi isteri orang ni, komitmen saya terhadap kedua-dua buah keluarga semakin bertambah. Saya juga berasa sedih sebab dah 35 tahun saya membujang, tiba-tiba hari ini saya sudah bergelar isteri,” luah Deja ketika ditemui di dewan makan yang menghimpunkan kira-kira 400 orang yang hadir dalam majlis tersebut.

Ditanya tentang wang hantaran, kata Deja, “Biarlah rahsia. Bagaimanapun, wang hantaran tersebut adalah mengikut persetujuan kedua-dua belah pihak.”

Pihak pengantin perempuan menerima tujuh dulang daripada pengantin lelaki iaitu berupa tepak sirih, jam tangan, cincin, manisan, wangian, beg tangan dan kasut, serta set barang kemas.

Dimaklumkan, wakil keluarga Andy telah merisik Deja pada 5 Julai lalu di Kuching, Sarawak. Pasangan ini sudah saling mengenali sejak kecil lagi dan bertemu kembali selepas 14 tahun terpisah. Mereka mula serius bercinta sejak setahun enam bulan lalu.

Selepas ini, Deja dan Andy memilih untuk menetap di Ampang, di sini. Pasangan ini juga dijangka memilih negara Chile sebagai destinasi bulan madu mereka pada November depan.

No Response to "Gambar Wedding Deja Moss dan Azfendy Datuk Azzuddin Ahmad"

Leave A Reply